Sejarah

SEJARAH SEKOLAH

           Sekolah Kebangsaan Pulau Sepanggar, Kota Kinabalu terletak di tengah-tengah perkampungan Pulau Sepanggar. Ia berhadapan dengan bangunan Yayasan Sabah, Universiti Malaysia Sabah ( UMS ) dan juga Pulau Gaya. Jaraknya dari bandaraya Kota Kinabalu diangggarkan lebih kurang 48 kilometer. Pada awal penubuhannya, sekolah ini hanya mempunyai kawasan berkeluasan  1 hektar sahaja tetapi pada masa kini keluasaan kawasannya adalah lebih daripada 4 hektar. Keunikan sekolah ini kerana ia berhampiran dengan laut dan kaya dengan khazanah alam semulajadi seperti hidupan lautan terutamanya batu karang dan tumbuhan-tumbuhan yang menghijau. Monyet merupakan binatang yang banyak terdapat di sekitar kawasan sekolah dan kadang kala membahayakan keselamatan murid-murid.


          Dahulunya, sekolah ini ditubuhkan pada tahun 1963 oleh orang-orang kampung melalui Jabatan Pelajaran dan dikenali sebagai Sekolah Rakyat Kampung (SRK). Sekolah ini memulakan sesi persekolahannya yang pertama pada tahun 1966 dengan bilangan murid seramai 22 orang sahaja dan merupakan anak-anak Pulau Sepanggar. Ketika itu cuma terdapat 1 unit bangunan sekolah sahaja. Oleh itu guru-guru yang di hantar bertugas ke sekolah ini terpaksa menyewa di rumah orang-orang kampung. Guru besar pertama sekolah ini ialah Encik Ayub B. Momin. Beliau mula bertugas di sekolah ini pada Januari 1966 sehingga penghujung tahun yang sama. Pada tahun 1967, Encik Jumar B. Bayat telah menjadi guru besar yang baru. Beliau berkhidmat di sekolah ini selama dua tahun. Menjelang tahun 1969 dan 1970 bilangan murid telah bertambah daripada 25 orang kepada 75 orang. Seiring  dengan pertambahan bilangan murid, bilangan kelas juga turut berlaku.


          Masa berlalu, kesedaran para ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak mereka makin terserlah. Semakin hari jumlah pelajar bertambah. Pihak kerajaan telah bermurah hati mendirikan sebuah bangunan baru pada tahun 1973 dan sebuah bangunan lagi pada tahun 1977.  Pada tahun 1980 an, sekolah ini telah menerima pendaftaran murid-murid dari luar kampung Sepanggar. Pada bulan Oktober 1984, sebanyak 2 unit rumah guru telah dibina. Setahun kemudian seunit bangunan sekolah telah dibina untuk menampung pertambahan 3 buah kelas.

  
Hari demi hari terus berlalu, pelajar keluaran Sekolah Kebangsaan Pulau Sepanggar semakin ramai yang berjaya mengharumkan nama sekolah samada bekerja di sektor kerajaan atau swasta dengan satu tujuan agar dapat membantu pembangunan negara. Kini wajah Sekolah Kebangsaan Pulau Sepanggar tampak ceria dengan bangunan yang terserlah indah dan mekar dengan ilmu pengetahuan agar para pelajarnya cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan sahsiah demi untuk menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang di suatu hari nanti. Bangunan sekolah kini berdiri megah dengan sebuah Pejabat Am, Bilik Guru, Bilik Komputer, Bangunan Prasekolah, Stesen Solar, Pusat Sumber, tujuh bilik darjah, Kelas Pemulihan, Kelas JQAF dan satu unit rumah guru. Sekolah Kebangsaan Pulau Sepanggar ditadbir oleh seorang Guru Besar, dibantu oleh 25 orang guru (tahun 2012), tiga orang Pembantu Tadbir dan lebih 389 orang pelajar yang kehausan ilmu (tahun 2012).


            (Hasil Karangan: Cikgu Siti Normagi  Diubahsuai: Cikgu Rabbica R.)



*****


SENARAI NAMA GURU-GURU BESAR YANG TELAH BERKHIDMAT DI
SK PULAU SEPANGGAR SEJAK TAHUN 1966 – 2012

NAMA
TAHUN
TEMPAT ASAL
1. Ayub Bin Momin
Jan 1966 – Dis 1967
Kg Pengalat Besar, Papar
2. Jumar Bin Bayat
Jan 1968 – Dis 1970
Kg Putatan, Penampang
3. Ahmad Bin Aban
Jan 1971 – Jan 1972
Kg Pengalat Besar, Papar
4. Hj. Idris Bin Dakom
Feb. 1972 – Jun 1972
Pulau Gaya, Kota Kinabalu
5. Mohd. Yaman Bin Hj Ag Ali
Julai 1972 – Dis 1976
Kg Kawang, Papar
6. Hassan Bin Abdul Hamid
Jan 1977 – Dis 1981
Kota Klias, Beaufort
7. Mohd. Din Bin Hussain
Jan 1982 – Feb 1988
Kg Kawang, Papar
8. Omar Bin Alipuddin
Mac 1988 – Mei 1988
Kg Pekan, Semporna
9. Awang Durai Bin Garah
Jun 1988 –  1999
Kg Kawang, Papar
10. Amat Bin Hj Alanglaut
1999 -  2000
Kg Unggun, Menggatal
11. Alexius Bin Julim
2001 – 2005
Tamparuli, Sabah
12. Hj Ibnu Salleh B Hj Puggah
2005
Semporna, Sabah
13. Amat Bin Hj Alanglaut
2005 - 2006
Kg Unggun, Menggatal
14. Gindan Bin Sambal
2006 - 2008
Tamparuli,Sabah
15. William T. Sorimpok
2008 – 2012
Tamparuli, Sabah
16. Akil Bin Daring
2012 – hingga kini
Semporna, Sabah